Selasa, 14 November 2017

Umur Berapa Boleh Membaca?

Teks : Asyikin Aziz

Diari terbuka 14/11/2017

Hari ni ada pelajar baru untuk kelas intensif. Belajar Bahasa Melayu. Bakal ke tahun 2 pada Januari nanti. Cantik dan lembut orangnya. Perempuan. Sehingga hari ini, berstatus anak tunggal. Manja dan dimanjakan berlebihan jika dilihat pada gayanya.

Sejujurnya Ai tidak sangka masih ada yang tidak boleh membaca semasa di Tahun 1 di kawasan pinggir bandar ini. Di tempat tinggal Ai sekarang pembangunannya sangat jauh berbeza berbanding di kampung Ai. Tapi dengan kekurangan fasiliti dulu, Ai boleh membaca dengan lancar sejak masih di Tadika Kemas. Begitu juga dengan adik-adik.

Terlintas di fikiran, mungkin pelajar baru Ai hari ini terlalu dimanjakan. Pernah ternampak bapanya yang membawa beg sekolah ketika balik dari sekolah. Malah ada kala didukung keluar dari kereta ke rumah. Lama memegang status anak tunggal menjadikan pelajar ini sedemikian. Seolah tidak pandai berdikari. Tetapi pandai membawa diri dan bijak berbahasa dengan orang lebih dewasa.

Sepatutnya ibu bapa tidak memanjakan anak berlebihan. Ada ketika perlu bertegas juga. Supaya kelak tidak memakan diri. Ini nasihat untuk diri sendiri. Memang kedua-dua hero Ai nampak manja, tapi bonda mereka ini garang orangnya. Antaranya, mainan yang ada di rumah boleh disepahkan. Tapi perlu dikemas sendiri selepas main. Dikutip masuk ke dalam bakul. Simpan di tempat yang dikhaskan.

Mujurnya, pelajar ini minat untuk belajar. Nampak keinginan untuk membaca. Malah bila tamat sesi belajar, masih minta izin untuk terus membaca. Bersama-sama hero Ai yang baru nak mengenal A, B, C. Maka otak Ai ligat mencari cara untuk lebih mencambah minatnya untuk belajar. Syukur menjadi.

P/s: Sifat seseorang kadang-kadang dipengaruhi oleh kedudukan dalam keluarga, sebagai anak tunggal, anak sulung, anak tengah atau anak bongsu. Bagaimana mereka melihat diri semasa dibesarkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semburan Kabus dan Trauma

Teks : Asyikin Aziz Diari terbuka 30/11/2107 Lewat diari ini dapat dinukilkan di sini. Ralat sangat. Tapi sebab badan sakit-sakit, maka ...