Isnin, 20 November 2017

Konvo UPSR?

Teks : Asyikin Aziz  Foto : Ihsan Google



Ai belum ada anak yang bersekolah. Tapi Ai cuba memahami perasaan ibu dan anak-anak yang kurang cemerlang. Ya, masa sekolah dulu pun Ai antara yang tidak diraikan bila keputusan peperiksaan akhir tahun tiada yang terbaik. Tapi untuk peperiksaan besar seperti UPSR, PMR (sekarang dah jadi PT3) dan SPM, keputusan Ai membanggakan mak ayah. Syukur Alhamdulillah.

Jika ada majlis meraikan pelajar cemerlang, ke mana pula pelajar yang kurang cemerlang? Turut serta dalam majlis atau dibiarkan buat hal sendiri? Pada Ai, bukan setakat majlis begini, majlis konvokesyen untuk tamat tadika, sekolah rendah juga tidak perlu. Ia sekadar membazirkan masa untuk buat persiapan. Bukannya menjadi pendorong pelajar untuk berjaya dan belajar ke peringkat lebih tinggi. Bayangkan, habis sekolah rendah dah pakai mortar board, tak perlulah belajar tinggi-tinggi ke universiti. Merasa jua pakai macam pelajar bergraduat.

Bukan cemburu sebab Ai sekolah dulu tak ada majlis sebegini, bukan sama sekali. Kalau hari keputusan peperiksaan diumumkan, tidak perlulah umum siapa dapat berapa-berapa. Bagi je dalam kelas. Kalau dalam dewan sekali pun, biar bagi slip sahaja. Majlis untuk meraikan buat pada hari lain. Hari esoknya. Selepas semua pelajar dapat terima hakikat keputusan masing-masing. Jika dibuat pada hari yang sama, perlu difikir juga kesan psikologi ke atas pelajar yang sudah berusaha tapi tiada nasib untuk dapat keputusan cemerlang. Jika dibuat keesokan hari, pasti pelajar berkenaan sudah menerima pandangan ibu bapa mereka. Sedih memang sedih, tapi kesedihan pasti tidak seteruk hari keputusan diumumkan.

Tapi sangat tidak kena jika tamat Tahun 6 berkonvo. Sijil UPSR laku ke untuk mohon kerja macam sijil diploma, sijil ijazah? Itu yang perlu difikirkan. Dengan keadaan ekonomi macam sekarang, usah bazirkan masa, tenaga dan wang untuk perkara yang keputusannya jauh untuk dilihat. Belum tentu anak yang UPSRnya bagus, mampu menamatkan pengajian ijazah. Masa boleh merubah manusia.

Ai pakai jubah dan mortar board untuk majlis konvokesyen baru sekali. Itu pun masa terima skrol Ijazah Sarjana Muda. Lebih 12 tahun yang lalu. Dan hari bahagia itu, Ai sendirian tanpa mak ayah. Hanya ditemani kawan-kawan sekuliah. Sedih? Teramat. Tapi Ai bangga, sehingga hari ini Ai masih satu-satunya anak perempuan mak ayah yang punya Ijazah walaupun cuma suri rumah. Gelaran ini sebenarnya bakal berakhir. Adik perempuan bongsu sedang mendaki tangga ijazah. Moga berjaya menamatkan pengajian, kelak.


Salam hormat,
Moga anak-anak sekarang lebih berkualiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semburan Kabus dan Trauma

Teks : Asyikin Aziz Diari terbuka 30/11/2107 Lewat diari ini dapat dinukilkan di sini. Ralat sangat. Tapi sebab badan sakit-sakit, maka ...