Jumaat, 10 November 2017

Cikgu? Last resort katanya

Teks : Asyikin Aziz

Lepas bergraduat dulu, mana-mana sahabat Ai tidak dapat gred S41 dalam kerajaan, ramai yang memohon KPLI. Memilih haluan menjadi guru. Yang bernasib baik, dapat jadi Guru Bimbingan dan Kaunseling. Ramai juga yang jadi guru pra sekolah dan guru pemulihan. Bagaimana pun, mereka masih dapat praktik ilmu kaunseling yang dipelajari.

Ai? Langsung tidak memohon KPLI. Bukan tak minat mengajar. Tapi takut dilabel 'dari tak dapat kerja baik jadi cikgu'. Sedangkan tak ada jiwa mendidik. Ai ingin lari dari dituduh sedemikian. Percuma kena marah dengan dengan pakcik Ai. Betapa dia sanggup membantu kalau Ai ingin jadi cikgu.

Ai jawab, kalau rezeki jadi cikgu mungkin di sekolah swasta. Jadi cikgu di sekolah swasta tak akan dituduh begitu. Sebab sekolah swasta dengan sekolah kerajaan pastilah penilaian berbeza. Bukan juga soal gaji yang Ai fikirkan tapi kepuasan bekerja. Juga bebanan kerja. Seingat Ai, cuma sekali saja hantar resume ke sekolah swasta. Mentah-mentah ditolak kerana tiada pengalaman dalam bidang pendidikan. Mana tak nya, habis belajar Ai mengajar tuisyen pada budak-budak kampung. Tidak berdaftar, tiada nama syarikat untuk diletak dalam resume. Mengajar kerana minat. Bayaran yang diterima? Oh, sangat lumayan. Mengajar secara percuma sahaja. Sementara menunggu panggilan kerja. Ada juga ibu bapa yang membayar. Kerana melihat peningkatan akademik anak mereka. Di kampung Ai masih ada ibu bapa yang tidak pentingkan akademik. Cukup tahu baca dan tulis OKlah, asalkan bijak mencari wang.

Pernah memohon kerja di tadika yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar juga tidak diterima. Alasannya gaji mereka tawarkan lebih rendah dari gaji Ai sebelum itu. Kalaulah mereka tahu Ai memohon kerana minat dan kepakaran, pasti diterima😊. Perasan bagus betullah Ai ni.

Yakin saja Ai mengaku pakar mengajar, kan? Makin kukuh keyakinan itu lepas belajar asas metafizik. Ai ada pola yang mempunyai kekuatan pada suara. Sesuai sebagai guru, jurujual dan membuat pemasaran. Bergabung pula dengan kebolehan memberi ceramah atau syarahan. Maka, yang terbaik adalah dalam bidang pendidikan. Memberi dan berkongsi ilmu. Andai Ai jadi konsultan latihan, agaknya ada ke yang sudi jemput Ai bagi ceramah?

Blog ini juga Ai jadikan medium berkongsi. Hasil dari pengalaman, pemerhatian dan pembacaan. Jadi, perkongsian di sini bukan untuk menunjuk Ai pandai, tapi berusaha memandaikan diri. Bukan yang terbaik tapi berusaha menjadi lebih baik. Bukan hebat tetapi berusaha menghebatkan diri.

Salam hormat,
Ai akan terus belajar dan berkongsi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semburan Kabus dan Trauma

Teks : Asyikin Aziz Diari terbuka 30/11/2107 Lewat diari ini dapat dinukilkan di sini. Ralat sangat. Tapi sebab badan sakit-sakit, maka ...